Hamba aR-Razzaq
Be not frightened when death draweth night, It is but the departure for this blessed home Think of the mercy and love of your Lord, Give thanks for His Grace and come without fear. What I am now, even so shall you be. For I know that you are even as I am. The souls of all men come forth from God. The bodies of all are compounded alike. Good and evil, alike it was ours. I give you now a message of good cheer. May God's peace and joy for evermore be yours."

Skrol Laut Mati dan Gospel Barnabas

Category: By Hamba Razzaq

Skrol Laut Mati dan Gospel Barnabas


Nota: Perbincangan di bawah mungkin menyebabkan pembaca menyangka yang umat Islam mempercayai Gospel Barnabas sebagai kata-kata Jesus yang tidak diubahsuai. Sebenarnya tidak begitu. Umat Islam tidak boleh menerima bimbingan daripada sebarang kitab selain Qur'an. Mereka juga tidak boleh menerima sebarang gospel sebagai 100% gospel asal Jesus (a.s.) yang tidak diubahsuai. Bagaimanapun, gospel ini sememangnya kelihatan lebih hampir kepada ajaran-ajaran Jesus (a.s.) yang asal berbanding gospel-gospel lain. Gospel ini telah dikritik hebat oleh golongan ortodoks yang telah menyerangnya dengan berbagai cara, daripada mendakwa ia adalah hasil kerja sekumpulan Muslim yang bersubahat, kepada mendakwa ia dihasilkan oleh penganut-penganut Kristian yang murtad. Untuk melihat kajian terperinci ke atas bukti-bukti yang menyokong kesahihannya dan usianya yang tua, sila baca "The Dead Sea Scrolls, the Gospel of Barnabas, and the New Testament" yang ditulis oleh M.A. Yuseff. Gospel ini mungkin tulen, mungkin tidak. Mungkin juga ia tulen, tetapi telah diubahsuai kemudian oleh pengarang-pengarang lain (seperti mana yang terjadi dengan buku-buku Perjanjian Baru). Masalah lain dengan gospel ini adalah hakikat bahawa ia hanya terdapat dalam bentuk terjemahan ke bahasa Itali dan Sepanyol. Ini telah menimbulkan masalah yang sama dalam menafsirkan maksud pengarang asal seperti yang dihadapi dengan buku-buku Perjanjian Baru. Terdapat kemungkinan bahawa hal yang sebenarnya tidak akan diketahui. Anda diminta ingat hal ini semasa membaca perbincangan di bawah.


Banyak kepercayaan-kepercayaan dasar Kristian yang telah diterima secara iman buta (kepercayaan-kepercayaan yang berbeza daripada kepercayaan Islam) selama berabad-abad kini mulai dicabar oleh sarjana-sarjana terkemuka dan pemimpin-pemimpin agama Kristian hari ini.


Seperti yang kita lihat di bahagian 1.2.3.1, salah satu daripada contohnya adalah apa yang ditemui dalam akhbar "Daily News" bertarikh 25 Jun, 1984 di bawah tajuk "Shock survey of Anglican Bishops". Tinjauan televisyen Britain ke atas 31 daripada 39 Biskop Gereja England mendapati bahawa 19 daripada mereka berpendapat penganut-penganut Kristian tidak perlu percaya bahawa Jesus (a.s.) adalah Tuhan, tetapi hanya "agenNya yang tinggi" (utusanNya).


Sesungguhnya ini diakui oleh Jesus dalam Yohanes 17:3:


"Jika orang mengenal Engkau, satu-satuNya Allah yang benar, dan mengenal Jesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal."

Semakin lama, mereka yang berilmu di dunia Kristian semakin menghampiri Islam.

"Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar daripada tanda-tanda kekuasannKu. Mereka jika melihat tiap-tiap ayatKu, mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya."

Al-Qur'an, Al-A'raaf (7):146


"Mereka itu tidak sama; di antara Ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari, sedang mereka bersujud (bersembahyang)."

Al-Qur'an, Al-'Imran (3):113



"Dan sesungguhnya di antara ahli kitab ada orang yang beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan yang diturunkan kepada mereka sedang mereka berendah hati kepada Allah dan mereka tidak menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit. Mereka memperoleh pahala di sisi Tuhannya. Sesungguhnya Allah amat cepat perhitunganNya."

Al-Qur'an, Al-'Imran (3):199



Pilihan ke atas empat Gospel yang digunakan sekarang (termasuk tulisan-tulisan St. Paul yang dianggap sebagai penulis kebanyakan buku-buku Perjanjian Baru) di buat semasa persidangan di Nicea pada tahun 325 M di bawah naungan Maharaja Konstantin yang merupakan seorang penyembah berhala atas sebab-sebab politik. Ratusan gospel dan tulisan-tulisan agama dianggap "apokrifa" (yang sebenarnya bermaksud "tersembunyi daripada orang ramai") dan dimusnahkan. Sebahagian daripadanya berkemungkinan ditulis oleh hawari-hawari Jesus (a.s.), dan bukannya murid kepada hawari-hawarinya yang tidak pernah bertemu Jesus (a.s.), seperti Paul. Kalaupun ia tidak lebih tulen daripada himpunan yang ada sekarang, sekurang-kurangnya ia adalah sama tulen. Sebahagian daripadanya masih ada, seperti Gospel Barnabas, yang selari dengan Qur'an dan menyebut nama Muhammad (s.a.w.). Penemuan pada zaman moden, seperti penemuan Skrol Laut Mati (Skrol Qumran) juga telah mengesahkan dakwaan-dakwaan Qur'an (seperti bahawa tiada paku akan menyentuh Al-Masih). Salinan Gospel-gospel purba Greek yang ada hari ini berasal daripada abad ketiga atau keempat pemergian Jesus (a.s.). Sebaliknya, Skrol Laut Mati sezaman Yohanes Pembaptis dari segi sejarah. Skrol tersebut ditentukan berasal daripada abad kedua S.M. sehingga abad pertama Masihi berdasarkan skrip yang digunakan untuk menulisnya, dan juga berdasarkan kajian arkeologi terhadap kawasan penduduk berdekatan dengan gua-gua di Qumran. Ia ditemui bersama dengan salinan tertua Perjanjian Lama yang ada hari ini.


Dalam usaha untuk mempertahankan ajaran-ajaran gospel-gospel Greek hari ini, Encik F.F. Bruce dalam bukunya "The New Testament documents. Are they reliable?" berkata:

"Perlu disebut di sini bahawa terdapat kesamaan fikiran dan bahasa yang ketara di antara teks Gospel dan Qumran. Kesamaan ini tidak perlu diperbesarkan; teks Qumran tidak dapat mengemukakan kepada kita tokoh seperti Jesus di dalam Gospel (Yohanes) ini."

Sarjana sejarah Kristian mengakui bahawa selepas persidangan Nicea yang masyhur (pada tahun 325 M), gereja St. Paul (Gereja Trinitari) telah memilih empat gospel yang paling hampir dengan doktrin yang menjadi pegangan mereka daripada lebih tiga ratus Gospel-gospel yang ada. Yang lain-lain, termasuk Gospel Barnabas, diarahkan supaya dimusnahkan. Mereka juga mengarahkan supaya semua Gospel yang ditulis dalam bahasa Ibrani dimusnahkan. Amalan ini berterusan sehingga sekurang-kurangnya tahun 1616 M.

Bagaimana pula Gospel Barnabas sampai kepada kita? Memang diketahui dan direkodkan bahawa Gospel Barnabas diterima sebagai Kanonikal oleh Gereja-gereja di Alexandria sehingga tahun 325 M. Pope Damasus (304-384 M) mengeluarkan dekri bahawa Gospel Barnabas tidak boleh dibaca. Dekri ini disokong oleh Gelasus, Biskop Caesaria, yang meninggal dunia pada tahun 395 M. Bagaimanapun, pada tahun 383 M Pope Damasus telah mendapatkan satu salinan Gospel Barnabas untuk kegunaan peribadi dan menyimpannya dalam perpustakaan persendiriannya. Banyak dekri yang menyebut Gospel Barnabas, seperti dekri yang dikeluarkan oleh gereja-gereja Barat pada taun 382 M, Pope Innocent pada tahun 465 M, Dekri Glasian pada tahun 496 M, Pope Hormidas, dan ia juga disebut dalam Stichometry of Niceophorus. Terdapat ramai lagi yang menyebut mengenai gospel ini atau cuba mendapatkan salinannya.

Pada tahun 478 M, iaitu pada tahun keempat pemerintahan Maharaja Zeno, kubur Barnabas ditemui dan satu salinan Gospel Barnabas yang ditulis olehnya ditemui bersama jenazahnya ("Acia Sanctorum Borland Junii Tom II", m.s. 422 dan m.s. 450, Antwerp, 1698). Bible Vulgate yang masyhur kelihatannya telah ditulis berdasarkan Gospel ini.



Di antara penganut-penganut Kristian yang awal adalah seorang lelaki bernama Irenaeus. Menurut buku "Jesus, Prophet of Islam" oleh Muhammad Ata' Ur-Rahim, Irenaeus banyak memetik Gospel Barnabas dalam tulisan-tulisannya. Pada abad keenam belas Masihi, seorang rakan karib Pope Sextus (1589-1590) bernama Fra Marino menjadi amat berminat dengan tulisan-tulisan Irenaeus. Pada suatu hari beliau dijemput untuk menziarahi Pope dan makan tengah hari bersamanya. Selepas makan, Pope merasa mengantuk dan tertidur. Marino melihat-lihat buku-buku dan manuskrip-manuskrip di dalam perpustakaan Pope Sextus dan terjumpa terjemahan Gospel Barnabas dalam bahasa Itali. Marino menyembunyikannya dan meninggalkan Vatikan dengan membawa gospel tersebut bersama. Gospel ini bertukar tangan sehinggalah ia sampai ke tangan "seorang yang berpengaruh dan terkenal" di Amsterdam yang "semasa hayatnya amat memandang tinggi akan nilai gospel ini". Selepas kematiannya, ia dimiliki oleh J.E. Cramer, penasihat kepada Raja Prussia. Pada tahun 1713, Cramer menghadiahkan buku ini kepada seorang connoisseur buku, iaitu Putera Eugene dari Savoy. Pada tahun 1783, kandungan perpustakaan Putera tersebut, termasuk Gospel ini dipindahkan ke Hofbibliothek [1] di Vienna.


Encik Sale dalam kata pendahuluan terjemahan ayat-ayat Qur'an berkata:

"... orang yang menemui M.S. asal, iaitu seorang rahib Kristian bernama Fra Marino, memberitahu kita bahawa setelah menemui beberapa tulisan-tulisan Irenaeus (dan tulisan-tulisan lain), di mana Irenaeus menyanggah Paul, beliau menjadi amat ingin untuk menemui salinan Gospel ini, dan bahawa setelah Tuhan, dengan rahmatNya, menjadikan Fra Marino sahabat karib Pope Sextus V (pope 1585-1590), telah pada suatu hari, ketika mereka berdua berada di perpustakaan Pope, yang mulia tertidur dan rahib ini menghabiskan masanya dengan mencari buku untuk dibaca; buku pertama yang dicapainya adalah Gospel yang selama ini dicarinya. Beliau amat gembira dengan penemuannya dan dengan berhati-hati menyembunyikannya di dalam lengan bajunya; dan setelah Pope terjaga daripada tidur, beliau meminta diri dan pergi membawa bersamanya harta karun kelestial tersebut, dan setelah membacanya beliau menganut fahaman Muhammadanisma [sic]."

"The Dead Sea Scroll, the Gospel of Barnabas, and the New Testament", M.A. Yuseff, m.s. 199

(Juga rujuk "Jesus, the Prophet of Islam" oleh Muhammad Ata' Ur-Rahim, m.s. 39-44, 76-77)


Kemasyhuran Gospel Barnabas telah menyelematkannya daripada menempuh nasib yang sama seperti gospel-gospel lain. Kebanyakan daripada salinan Gospel Barnabas berkecenderungan untuk hilang tanpa ditemui lagi. Inilah yang terjadi kepada salinan dalam bahasa Sepanyol yang hilang dengan penuh misteri dari College Library di England sekitar masa yang sama. Gospel Barnabas diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Encik Ragg dan Puan Ragg, dan diterbitkan oleh Clarindon Press di Oxford pada tahun 1907. Meskipun mereka menafikan ketulenan Gospel ini, salinan Gospel ini hilang secara misteri dari pasaran. Hanya dua salinan yang tidak menempuh nasib yang sama. Satu salinan disimpan di Library of Congress di Washington D.C. Satu salinan lagi disimpan di British Museum. Cetakan baru telah dibuat daripada salinan ini dan boleh didapati hari ini.

Banyak cubaan telah dibuat untuk menafikan ketulenannya semenjak Gospel Barnabas diseludup keluar dari Vatikan dan diedarkan kepada umum. Gospel ini didapati begitu kuat menyokong Qur'an sehingga Marino dikatakan telah terjumpa dengan Gospel palsu yang ditulis oleh umat Islam yang kemudiannya telah menyembunyikannya di Vatikan. Banyak yang telah ditulis mengenai topik ini, dan sesiapa yang ingin melihat bukti-bukti kukuh mengenai usianya yang tua dan ketulenan Gospel ini boleh merujuk buku "The Dead Sea Scroll, the Gospel of Barnabas, and the New Testament", oleh M.A. Yuseff.


Beberapa petikan daripada Gospel Barnabas

Sebagai menjawab soalan Philip, Nabi Jesus berkata:

"Tiada yang setara dengan Tuhan. Dia tiada permulaan, juga tiada akhirnya... Dia tiada anak, tiada saudara, tiada teman."

Gospel Barnabas:17


"... Sesungguhnya kamu telah melakukan kesalahan besar, hai bangsa Israel, apabila kamu menganggap aku (Jesus), adalah Tuhanmu... Aku mengaku bersaksikan langit bahawa aku tidak bersubahat dengan apa yang kamu katakan; kerana aku adalah seorang manusia, dilahirkan oleh seorang wanita (manusia), perlu menghadapi pengadilan Tuhan, aku makan dan tidur, merasa sejuk dan panas, seperti manusia-manusia lain... Apabila Tuhan mengadili hal ini, kata-kataku akan menjadi ibarat pedang yang menikam setiap orang yang percaya bahawa aku lebih daripada manusia."

Gospel Barnabas:93


Mengenai Barnabas sendiri, Bible telah mengarahkan: "jika dia datang kepadamu, terimalah dia"

Kolose 4:10

(Untuk petikan-petikan lain daripada Gospel Barnabas, sila baca bahagian yang berikut).


Skrol Laut Mati


Saya tidak menyentuh kenyataan F.F. Bruce mengenai Skrol Laut Mati. Walaupun beliau bersungguh-sungguh mempertahankan teks Perjanjian Baru dan Perjanjian Lama, kita dapati beliau berkata:

"Perlu disebut di sini bahawa kesamaan fikiran dan bahasa yang ketara di antara teks Gospel dan Qumran. Kesamaan ini tidak perlu diperbesarkan; teks Qumran tidak dapat mengemukakan kepada kita tokoh seperti Jesus di dalam Gospel (Yohanes) ini."


Apa yang perlu diberi perhatian mengenai petikan di atas? Untuk menjawab soalan ini, kita perlu mulakan dengan kisah skrol ini.

Pada tahun 1947, sekumpulan kanak-kanak terjumpa set pertama skrol ini di dalam gua di pantai Laut Mati. Dengan segera skrol ini dikenal pasti sebagai hasil kerja satu mazhab Yahudi yang amat alim yang hidup beberapa abad sebelum kelahiran Jesus (a.s.). Hershel Shank di dalam bukunya "Understanding the Dead Sea Scroll" berkata:

"Begitulah Skrol Laut mati ditemui, manuskrip-manuskrip yang seribu tahun lebih tua daripada teks Bible dalam bahasa Ibrani yang ada, manuskrip-manuskrip yang kebanyakannya ditulis seratus tahun sebelum kelahiran Jesus dan sekurang-kurangnya satu daripadanya mungkin telah ditulis hampir tiga ratus tahun sebelum perjalanan Maryam dan Yusuf ke Bethlehem."


"Understanding the Dead Sea Scroll", Hershel Shank, m.s. 7-8

Operasi pencarian lain dilancarkan dengan segera ke atas gua-gua lain di kawasan tersebut untuk mencari skrol-skrol purba lain yang mungkin terdapat di situ. Sekumpulan kecil sarjana-sarjana "antara bangsa" di Israel diberikan capaian eksklusif kepada skrol-skrol tersebut, dan orang lain dihalang sama sekali daripada melihat teks tersebut (Prof. Eisenman mengatakan bahawa satu halangan terbesar untuk menerbitkan skrol-skrol tersebut adalah "sesungguhnya, pasukan antara bangsa tersebut bukan pasukan antara bangsa"). Prof. Eisenman adalah salah seorang yang memainkan peranan penting dalam drama yang akhirnya menyebabkan skrol tersebut dilepaskan. Di dalam bukunya "The Dead Sea Scroll Uncovered", beliau berkata:


"Pada musim bunga tahun 1986, tidak lama sebelum beliau meninggalkan Jerusalam, Profesor Eisenman dan seorang sarjana Britain bernama Philip Davies dari University of Sheffield telah berjumpa dengan salah seorang pegawai-pegawai Israel yang bertanggungjawab dalam hal ini - beliau adalah orang tengah Jabatan Purba (sekarang 'Autoriti'), pasukan antara bangsa tersebut dan Kurator Skrol di Muzium Israel. Mereka dimaklumkan dengan tegas, 'Anda tidak akan dapat melihat Skrol-skrol tersebut semasa hayat anda.'."

Ini menyebabkan mereka bertindak, dan akibat kenyataan tersebut, usaha besar-besaran dilancarkan dan lima tahun kemudian, melalui publisiti pihak media, kebenaran mengkaji skrol tersebut diperolehi. Prof. Eisenman akhirnya memperolehi 1800 gambar skrol-skrol tersebut yang sebelum ini tidak diterbitkan. Buku tersebut seterusnya menceritakan:

"Eisenman sedang menyediakan Edisi Faksimili semua plat yang belum diterbitkan. Ini dijadualkan akan diterbitkan pada musim bunga depan melalui E.J. Brill di Leiden, Belanda. Bagaimanapun, sepuluh hari sebelum tarikh ia dijadualkan akan diterbitkan pada bulan April 1991, setelah menerima tekanan daripada Pasukan Antara Bangsa, penerbit tersebut menarik diri tanpa penjelasan dan Hershel Shanks (pengarang 'Biblical Archeology Review') dan Persatuan Arkeologi Biblikal telah membantu untuk mengatasi perbuatan mungkir janji ini."

Bagaimanapun, akhirnya pada bulan September 1991, arkib tersebut dibuka secara rasmi dan dua bulan kemudian Edisi Faksimili sebanyak dua jilid diterbitkan.


Kita telah membaca kata-kata Tom Harpur dalam pendahuluan bukunya:

"Perkembangan terpenting sejak 1986 mengenai hal ini adalah penemuan gelaran "Anak Tuhan" dalam salah satu manuskrip papirus Qumran (Skrol Laut Mati) yang digunakan terhadap seseorang selain daripada Jesus... ini hanya menguatkan lagi hujah bahawa gelaran Anak Tuhan di dalam masyarakat Yahudi pada abad pertama sama sekali tidak sama seperti serupa dengan Tuhan sendiri."

"For Christ's Sake", m.s. xii

Jadi apa kata kita mengkaji skrol-skrol ini dengan lebih teliti dan lihat apa yang dapat kita pelajari daripadanya?

Skrol Laut Mati terdiri daripada cebisan-cebisan dari banyak manuskrip, tetapi di antara yang paling menarik adalah teks Pesher. Teks Pesher adalah rentetan tafsiran ayat-ayat Biblikal yang disusun oleh golongan yang paling berilmu di kalangan bangsa Yahudi. Perkataan tersebut diterbitkan daripada perkataan akar Hebrew p-sh-r yang bermaksud "menerangkan". Teks tersebut mengandungi petikan-petikan daripada Bible diikuti dengan "pesher ha davar" yang bermaksud "tafsiran perkara ini adalah", dan diikuti oleh tafsiran ke atas petikan tersebut.

Asas semua teks ini adalah semua sejarah telah ditentukan oleh Tuhan. Dengan kata lain, Tuhan tidak terhad kepada melihat sesuatu perkara sebagai "masa lalu", "sekarang", atau "masa depan", sebaliknya sepanjang zaman adalah ibarat buku yang terbuka bagi Tuhan (sila lihat pengesahan konsep ini dalam kepercayaan Islam di Bab 11). Sesungguhnya, beginilah caranya nabi-nabi menerima "ramalan-ramalan" kerana Tuhan "melihat" masa depan.

Maka sila ingat bahawa mulai dari sini saya memetik daripada teks yang telah ditulis lebih kurang 100 tahun atau lebih sebelum kedatangan Jesus (a.s.), dan bahawa tarikh ini disahkan melalui analisa kesasteraan, dan bahawa pengarang-pengarangnya adalah daripada mazhab Yahudi yang amat beragama dan warak. Berpegang kepada fakta ini, mari kita lihat apa kata mereka.

Mereka yang mengkaji skrol-skrol ini telah mendapati bahawa satu tema yang meluas dalam manuskrip-manuskrip ini adalah kebanyakan teks pesher meramalkan kedatangan "Guru Saleh" yang akan diutuskan oleh Tuhan kepada bangsa Yahudi. "Guru Saleh" ini akan ditentang oleh "Guru Penipu" dan "Paderi Yang Jahat". Skrol-skrol ini juga meramalkan kedatangan DUA penyelamat. Dua penyelamat ini disebut sebagai penyelamat kepaderian dan penyelamat duniawi. Apa yang kita dapati di sini adalah satu golongan Yahudi yang warak yang yakin bahawa masa kedatangan dua penyelamat ini telah hampir, dan oleh yang demikian, mereka bersiap sedia menunggu kedatangannya dengan memisahkan mereka daripada arus perdana masyarakat Yahudi, dan mengabdikan hidup mereka beribadat dan bersedia untuk kedatangan tersebut.

"Menurut pendapat yang paling berpengaruh dalam teks taifah dari Qumran, dua orang penyelamat akan memimpin perhimpunan Hari Kiamat, seorang kepaderian dan seorang lagi bukan kepaderian."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schifman, m.s. 321-322

Di dalam buku "The Dead Sea Scrolls Uncovered" oleh Robert Einsman dan Michael Wise, kita dapati bahawa skrol-skrol awal memperkatakan DUA penyelamat, tetapi kemudiannya masyarakat Yahudi mula menggabungkan mereka kepada seorang penyelamat.

"Seperti yang kami cadangkan, tidak seperti teori "dua Penyelamat" yang masyhur dalam kesarjanaan Qumran awal, rujukan-rujukan kepada "Penyelamat Harun dan Israel" di dalam Dokumen Damascus adalah mufrad, bukan majmuk... dan salah satu penjelasan yang mungkin adalah bahawa ia merujuk kepada Penyelamat dengan kedua-dua sifat kepaderian dan raja, seperti penceritaan Ibrani."

"The Dead Sea Scrolls Uncovered", Robert Einsman dan Michael Wise, m.s. 162

Bangsa Yahudi meramalkan kedatangan dua Penyelamat. Mereka mengenali Penyelamat pertama sebagai penyelamat yang akan menjalankan tugas-tugas "kepaderian" atau "ekesiastikal". Mereka mengenali Penyelamat kedua sebagai penyelamat yang akan menjalankan tugas-tugas "raja" atau "ketenteraan". Dua ramalan ini merujuk kepada Jesus (a.s.) dan Muhammad (s.a.w.). Jesus (a.s.) memang diketahui menjalankan tugas-tugas "kepaderian"nya. Bagaimanapun, tidak seperti nabi-nabi seperti Daud (a.s.) dan Musa (a.s.), beliau tidak pernah memimpin tentera, tidak pernah menubuhkan kerajaan, dan tidak pernah mengarahkan pengikut-pengikutnya melancarkan peperangan. Sebaliknya, beliau selalu menyeru kepada kedamaian dan penyerahan dan untuk membiarkan pemerintahan negara di tangan orang lain (Matius 22:21). Beliau memberitahu pengikut-pengikutnya yang beliau ada banyak perkara yang beliau ingin ajarkan kepada mereka, tetapi mereka belum sanggup memikulnya, dan bahawa terdapat orang lain yang akan datang selepasnya yang akan mengajar mereka semua kebenaran (Yohanes 16:7-14). Muhammad (s.a.w.) juga pada mulanya mengajar penyerahan. Bagaimanapun, Tuhan Yang Maha Berkuasa membenarkan ajaran-ajarannya matang hingga ke tahap di mana ia berupaya mempertahankan dirinya dan melaksanakan keadilan di bumi dan menghapuskan kejahatan. Oleh itu, seperti mana ramai nabi-nabi di dalam Perjanjian Lama telah melancarkan peperangan menentang penyembah berhala di negara-negara yang berhampiran, begitu juga pengikut-pengikut Muhammad mengambil bahagian dalam banyak peperangan atas nama Tuhan dan akhirnya empayar Islam meliputi dari China ke Sepanyol. Mereka yang bukan pengikut Muhammad pun mengenalinya dengan baik. Tetapi bagaimanakah mereka mengenalinya? Mereka mengenalinya melalui tindakan-tindakan "rajanya", bukan melalui sifat "kepaderian"nya yang dilihat oleh pengikut-pengikutnya.

"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim."

Al-Qur'an, Al-Baqarah (2):193

"Orang-orang yang telah Kami beri Al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui."

Al-Qur'an, Al-Baqarah (2):146

Setelah beberapa lama, ramalan-ramalan kaum Yahudi ini mulai menjadi kabur, dan hal ini ditambah pula dengan penindasan banyak bangsa-bangsa lain terhadap mereka yang akhirnya telah menyebabkan mereka menggabungkan ramalan-ramalan ini kepada satu ramalan sahaja, di mana mereka menantikan peristiwa besar ini yang akhirnya akan membebaskan mereka daripada semua penindasan dan membuka jalan untuk mereka maju ke hadapan, dan menakluk negara-negara lain dan mengisytiharkan diri mereka sebagai pelindung kerajaan Tuhan. Bagaimanapun, seperti yang kita lihat daripada ramalan-ramalan mereka, penyelamat kedua yang diketahui oleh tugas "raja"nya, bukan penyelamat pertama.

Atas sebab ini, apabila kita membaca Gospel Barnabas, kita mendapati bahawa apabila kaum Yahudi bertanya Jesus (a.s.) sama ada beliau adalah "penyelamat itu", beliau menjawab bahawa beliau bukanlah "penyelamat" yang mereka nantikan. Ini adalah kerana Jesus memahami bahawa soalan mereka mempunyai maksud yang lebih mendalam, bukannya mereka mahu menentukan gelaran. Mereka tidak bertanya apa gelarannya, sebaliknya mereka mahu tahu sama ada beliau adalah orang yang akan memimpin mereka untuk memenuhi harapan mereka mengenai kuasa dan keagungan yang mereka nantikan selama berabad-abad. Atas sebab inilah, beliau memberitahu mereka bahawa beliau bukan "Penyelamat itu", tapi bahawa "Penyelamat" yang mereka nantikan akan datang kemudian. Beliau merujuk kepada penyelamat KEDUA dalam ramalan mereka (sila baca bahagian 6.1). Sesungguhnya, penganut Kristian dan Islam bersetuju bahawa Jesus adalah seorang "Penyelamat" daripada Tuhan, tetapi daripada jawapannya kelihatan bahawa Jesus telah menggunakan kebijaksanaan dan pengetahuannya mengenai kaumnya apabila menjawab soalan mereka.

Lawrence Schiffman berkata mengenai Pesher Habakkuk:

"Ia (Pesher Habakkuk) menceritakan mengenai perjuangan di antara Guru Saleh dan penentang-penentangnya - Manusia Penipu (juga disebut sebagai Tunas Penipuan atau Penyebar Penipuan) dan Paderi Jahat. Tunas Penipuan digambarkan memimpin satu masyarakat. Perselisihan di antara guru dan Tunas Penipuan kelihatannya adalah mengenai tafsiran dan undang-undang agama. Paderi Jahat dikatakan telah memulakan pemerintahannya dalam kebenaran tetapi kemudiannya meninggalkan jalan yang benar. Beliau kemudiannya menganiaya Guru, menentangnya pada hari paling suci dalam setahun, iaitu Hari Penebusan Dosa."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 228

Ramalan ini disambung di dalam Pesher Psalms:

"Teks ini juga menyebut watak drama yang biasa: Guru Saleh, yang diistilahkan sebagai 'paderi'; paderi jahat; dan Manusia Penipu. Paderi Jahat menganiaya Guru dan cuba membunuhnya. Manusia penipu menyesatkan kaumnya."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 229

Dalam Pesher Psalms A 1 III 15-16, kita dapati:

"Tafsirannya (Mazmur 37:23) merujuk kepada paderi, Guru Saleh yang Tuhan berjanji akan diutuskan kerana Dia (Tuhan) telah menyediakan (iaitu mentakdirkan) bahawa beliau (guru) akan membina untukNya satu jemaah."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 120

Dalam cerita ini kita mulai nampak kisah kedatangan Jesus (a.s.), beliau memilih Judas sebagai hawarinya, Judas berpaling daripada kebenaran, bagaimana satu mazhab Yahudi menganiaya Jesus (a.s.), bagaimana mazhab ini cuba menipu orang ramai dan berselisih pendapat dengan Jesus mengenai kebenaran ajaran Tuhan, dan akhirnya, bagaimana mereka berkomplot dengan Judas untuk membunuh Jesus (a.s.). Guru Saleh adalah merujuk kepada Jesus (a.s.), iaitu penyelamat "kepaderian". Paderi Jahat merujuk kepada Judas, dan kemungkinan besar Tunas Penipuan adalah pemimpin "ketua paderi dan Farisi" yang menganiaya Jesus dan kerap disebut di dalam Bible, atau mungkin merujuk kepada Paul sendiri.

Ramai sarjana-sarjana Kristian merebut ramalan-ramalan ini untuk membuktikan kesahihan dakwaan mereka bahawa sesungguhnya Jesus (a.s.) dihantar oleh tuhan, dan kaum Yahudi dikehendaki mengikutinya. Bagaimanapun, usaha mereka gagal disebabkan satu lagi bukti yang menakjubkan yang digunakan oleh kaum Yahudi untuk menyangkal dakwaan mereka, iaitu Skrol Laut Mati secara khusus mengatakan bahawa penyelamat yang pertama akan dianiayai dan Paderi Jahat akan cuba membunuhnya, tetapi Paderi Jahat tidak berjaya dan bahawa beliaulah yang menerima nasib yang beliau mahukan untuk penyelamat tersebut.

"Paderi Jahat sehinggakan berusaha untuk menyerang hendap Guru Saleh. Dalam tafsiran Mazmur 37:32, "Paderi Jahat mencari yang benar, untuk membunuhnya". Teks tersebut berkata: 'Tafsirannya adalah mengenai Paderi Jahat yang memerhatikan Guru Saleh dan cuba membunuhnya' Pesher Psalms A 1-10 IV 8-9"

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 233

Maka Judas akan cuba membunuh Jesus (a.s.).

Dalam Pesher Habakkuk 11:4-8, kita dapati:

"Tafsirannya (Habakkuk 2:15) adalah mengenai Paderi Jahat yang memburu Guru Saleh dan menelannya disebabkan rasa marahnya ke tempat buangan. Dan pada masa hari rehat pada hari Penebusan Dosa, beliau (Paderi Jahat) muncul di hadapan mereka untuk menelan mereka dan menyebabkan mereka terhalang daripada menahan diri daripada bekerja."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 120

"Paderi Jahat memulakan kerjayanya dengan sokongan golongan taifah, tetapi beliau terpesong dan mula melampaui batas untuk membanyakkan hartanya."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 233

Ingat Matthew 26:15:

"Dia berkata, "Apakah yang akan kamu beri kepadaku jika aku menyerahkan Jesus kepadamu?". Mereka mengira tiga puluh keping wang perak lalu menyerahkan wang itu kepadanya."

"Berbagai teori dicari untuk mengatakan bahawa Guru adalah Jesus, dan mendakwa bahawa beliau dihukum bunuh oleh Paderi Jahat. Jika memang itu yang terjadi, teks tersebut tidak akan menjelaskan bagaimana Tuhan membalas dendam terhadap paderi tersebut dan menyerahkannya kepada 'mereka yang tidak berhati perut di kalangan bangsanya'. Dan menurut teks ini, guru tersebut sememangnya selamat daripada serang hendap tersebut. Sesungguhnya keseluruhan petikan tersebut adalah tafsiran Mazmur di mana teks tersebut menyambung, "Tuhan tidak meninggalkannya (yang Benar), ke tangannya (yang Jahat); Dia tidak akan membiarkannya (yang Benar) dikutuk dalam pengadilan (oleh yang jahat)."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 233-234

Pengarang ini kemudiannya memetik Pesher Habakkuk mengenai niat Paderi Jahat dan hukuman yang menimpanya. Beliau berkata:

"Bagaimanapun, kesudahannya Paderi Jahat dihukum: '.. kerana perbuatannya yang melampaui batas terhadap Guru Saleh dan pengikut-pengikutnya, Tuhan menyerahkannya ke tangan musuh-musuhnya yang menyeksanya dengan penyakit untuk memusnahkannya dengan penderitaan yang dideritai oleh manusia kerana beliau telah berbuat jahat terhadap orang yang dipilihNya'. Musuh-musuh Paderi Jahat menyeksanya yang mana ini mewakili hukuman Tuhan terhadap serangannya ke atas Guru Saleh. Penderitaan Paderi Jahat diterangkan dengan lebih jelas dalam petikan lain: 'dan semua musuh-musuhnya bangun dan menyeksanya supaya seksaan tersebut setimpal dengan perbuatan jahatnya. Mereka telah menjangkitinya dengan penyakit yang teruk, dan menyeksa tubuhnya'. Yang menderitai semua ini adalah Paderi Jahat, bukan Guru Saleh. Musuh-musuh Guru Saleh, kaum yang beliau tentang, dikatakan telah menyeksanya, dan riwayatnya tamat setelah menderita sakit dan seksaan."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 234

Pesher Habakkuk 9:9-10 berbunyi:

"Tafsirannya (Habakkuk 2:8) adalah mengenai Paderi Jahat yang disebabkan perbuatannya yang melampaui batas terhadap Guru Saleh dan pengikut-pengikutnya, Tuhan telah menyerahkannya ke tangan musuhnya yang menyeksanya..."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 119

Jika kita membaca Gospel Barnabas, kita akan dapati bahawa apabila Judas bertemu dengan pasukan tentera Rom untuk mengkhianati Jesus (a.s.), Tuhan mengangkat Jesus (a.s.) kepadanya dan menyelamatkannya. Kemudian Dia menjadikan Judas kelihatan dan bertutur seperti Jesus (a.s.), yang mana ini menyebabkan orang Rom menyeret Judas sementara beliau meronta dan menjerit bahawa beliau bukan Jesus (a.s.), tetapi adalah Judas. Hawari-hawari pun menjadi bingung menyaksikan peristiwa itu.

Setelah kaum Rom menyeksa dan mencaci Judas dengan berbagai cara, beliau akhirnya diadili. Beliau ditanya banyak kali sama ada beliau adalah Jesus (a.s.), dan setiap kali beliau menjawab bahawa beliau bukan Jesus tetapi adalah Judas, dan bahawa Jesus telah menggunakan sihir untuk merubah rupanya supaya mirip wajah Jesus. Sudah tentu tiada sesiapa yang mempercayainya. Apa yang beliau berjaya lakukan adalah meyakinkan orang ramai bahawa Jesus adalah seorang yang gila. Peristiwa yang berlaku ini kelihatannya disokong oleh Perjanjian Baru di mana bila saja Jesus ditanya, "Adakah kamu Jesus?", beliau menjawab, "Begitulah yang tuan katakan" (Matius 27:11, Markus 15:2). Jawapan ini boleh diterima akal jika beliau bukan Jesus tetapi adalah Judas, dan beliau telah diseksa, dicerca dan diejek, sehingga beliau telah putus harapan bahawa orang akan mempercayainya. Dengan kata lain, apa yang dimaksudkan oleh Judas dengan "Begitulah yang tuan katakan" adalah "Anda tidak akan mempercayai saya jika saya berkata sebaliknya, jadi apa gunanya."

Musuh-musuh Jesus menahan Judas dan terus menyeksanya di mana mereka mengejeknya, menendangnya, menampar mukanya, menghirisnya, meludahnya, memalukannya dan menyeksanya. Akhirnya beliau diikat di batang salib. Tidak lama selepas itu, mereka melepaskannya dan beliau hilang dari makamnya (mungkin hidup melarat disebabkan penyakit dan kemudian mati jika beliau belum mati). Selanjutnya Gospel Barnabas menceritakan bagaimana Jesus (a.s.) kembali menemui hawari-hawari untuk memberitahu mereka bahawa Tuhan telah menyelamatkannya dari tangan kaum Yahudi dan Rom, mengangkatnya ke langit dan bagaimana si pengkhianat (Judas) yang ditangkap.

Sekali lagi, rentetan peristiwa ini kelihatannya disokong oleh Perjanjian Baru di mana terdapat ketidakpastian mengenai nasib Judas disebabkan percanggahan kisah-kisah di dalam buku-buku yang berlainan. Sebagai contoh, di dalam Matius 27:5, Judas dikatakan amat menyesal, menyerahkan wang tebusannya kepada penjaga Rumah Tuhan, dan kemudian menggantung dirinya kerana perasaan malu dan kesal. Sebaliknya, di dalam Kisah Rasul-raul 1:19, Judas langsung tidak menyesal, sebaliknya telah membeli sebidang tanah daripada upahnya, dan ketika beliau keluar bersiar-siar pada suatu hari, beliau telah tersadung, jatuh dan organ-organ dalamannya terkeluar. Dengan cara ini, Tuhan telah membalas perbuatan pengkhianat ini.

Sarjana-sarjana konservatif telah selama beberapa abad cuba mengharmonikan dua kisah yang bertentangan ini, di mana dalam satu kisah Judas membeli sebidang tanah, dan dalam cerita yang satu lagi ketua paderi yang membeli sebidang tanah. Begitu juga dalam satu cerita Judas menggantung dirinya, dan dalam cerita yang satu lagi Judas tersadung dan perutnya terburai keluar. Dalam satu cerita beliau menyesal manakala dalam satu cerita lagi beliau tidak menyesal langsung. Untuk menyelesaikan dilema ini, beberapa sarjana konservatif mencadangkan bahawa Judas telah menggantung dirinya, tali gantungnya terputus, beliau jatuh dan kemudian perutnya terburai. Dengan kata lain, mereka mengambil dua cerita yang bertentangan, menambah perincian yang tidak terdapat di dalam kedua-dua cerita dan kemudian menghasilkan satu cerita baru yang tidak disokong oleh kedua-duanya.

Seperti yang disebut sebelum ini, adalah mungkin bahawa sesungguhnya dokumen Q yang sukar ditemui yang dipercayai oleh sarjana-sarjana Kristian adalah sumber kepada tiga Gospel pertama (Matius, Markus dan Lukas) adalah Gospel Barnabas. Gospel ini kelihatannya mempunyai pengaruh yang besar ke atas Perjanjian Baru yang ada hari ini.

Selama 1400 tahun Qur'an telah memberitahu kita bahawa Tuhan tidak membiarkan Jesus (a.s.) dibunuh oleh pakatan di antara kaum Yahudi dan Judas, tetapi bahawa "kelihatan begitu kepada mereka". Walaupun umat Islam tidak mengetahui ceritanya secara terperinci kerana tidak diceritakan oleh Quran, tetapi kita dapati:

"Maka tatkala Isa (Jesus) mengetahui keengkaran mereka (Bani Israel) berkatalah dia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah?". Para hawari menjawab: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah. Kami beriman kepada Allah; dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang menyerah diri. Ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti rasul, kerana itu masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi (tentang keesaan Allah)". Orang-orang kafir itu membuat tipu daya dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya."

Al-Qur'an, Al-'Imran(3);52-54

"Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daun dan Isa (Jesus) putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu. Kamu melihat kebanyakan daripada mereka tolong-menolong dengan orang-orang yang kafir. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka sediakan untuk diri mereka, iaitu kemurkaan Allah kepada mereka; dan mereka akan kekal dalam seksaan. Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi dan kepada yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak akan mengambil orang-orang musyrikin itu menjadi penolong-penolong, tetapi kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang fasik. Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Kristian". Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu terdapat pendita-pendita dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri. Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al-Qur'an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al-Qur'an dan kenabian Muhammad s.a.w.). Mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, padahal kami sangat ingin agar Tuhan kami memasukkan kami ke dalam golongan orang-orang yang saleh?". Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan, (iaitu) syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya. Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan orang-orang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka."

Al-Qur'an, Al-Maiidah (5):78-86

Kemudian skrol tersebut menceritakan bagaimana "Kittim" (Empayar Rom) dan raja-raja Greek cuba untuk menawan Jerusalam (lambang golongan beriman), tetapi bahawa Kittim (Rom) yang akhirnya berjaya. Ingatkah di dalam Bab 1 saya menceritakan peringkat-peringkat bagaimana Rom akhirnya mengambil alih keseluruhan agama Kristian dan "melindunginya" dan "menyebarkannya" setelah ia "diperjelaskan", dan doktrin-doktrinnya ditentukan dan dipelihara melalui falsafah dan tulisan-tulisan Greek?

"Beberapa teks menceritakan mengenai seorang nabi eskatologikal yang akan mengumumkan kedatangan seorang penyelamat, seorang yang seperti Elijah di dalam tradisi rabai."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 323

Sekali lagi, sila baca bahagian 6.1 yang menjelaskan bahawa kaum Yahudi bukannya sedang menunggu seorang nabi untuk "menyedikan jalan" bagi Jesus (a.s.) dan "mengumumkan" kedatangannya (ini adalah Yohanes Pembaptis), tetapi mereka juga menunggu seorang penyelamat selepas kedatangan Jesus (a.s.).

Merujuk kepada manuskrip bertajuk "The Rule of Community", ayat 9:11-12, Schiffman berkata:

"Tanpa ragu-ragu, teks ini merujuk kepada dua penyelamat yang akan diumumkan oleh seorang nabi eskatologikal. Berdasarkan manuskrip-manuskrip di gua 4 mengenai Peraturan Masyarakat, pasukan penerbitan yang asal berhujah bahawa petikan ini ditambah ke teks tersebut pada masa terkemudian dalam sejarah mazhab tersebut. Bagaimanapun, bukti dalam manuskrip-manuskrip ini tidak mencukupi untuk menyokong hujah ini. Sejauh yang dapat dilihat, konsep penyelamat adalah sebahagian daripada Peraturan Masyarakat semenjak masa ia ditulis."

"Reclaiming the Dead Sea Scroll", Lawrence H. Schiffman, m.s. 324

"Sehingga masa kedatangan Nabi tersebut dan kedua-dua penyelamat kepaderian dan penyelamat bukan kepaderian, mereka ini tidak beranjak daripada maksud undang-undang untuk mengikuti kekerasan hati mereka sendiri. Mereka akan menilai berdasarkan undang-undang asal yang dididik kepada masyarakat semenjak mula."

"Manual of Discipline" 9:8-11 ("The Dead Sea Scrolls and the Gospel of Barnabas")

"Dan inilah, dalam bentuknya yang khusus, yang mereka ikuti sepanjang Era Kejahatan sehinggalah Penyelamat-penyelamat kepaderian dan bukan kepaderian muncul dan menebus ketidaksamaan mereka."

"Zadokite Document 14:18" ("The Dead Sea Scrolls and the Gospel of Barnabas")

Di dalam bukunya M.A. Yuseff bercerita:

"Pada penghujung abad kedua, seperti yang diceritakan oleh "Memoirs of Hegesippus", seorang lelaki didapati mengumpulkan cerita mengenai kehidupan dan pendakwahan Jesus dari Nazaret dan penganut-penganut Kristian untuk menulis sejarah ekesiastikal secara umum. Apa pun bentuk sejarah ekesiastikal ini, apa yang dapat dikatakan dengan pasti mengenainya adalah tradisi-tradisi ini mengandungi ramalan-ramalan mengenai Penyelamat yang akan datang selepas Jesus. Ramalan-ramalan ini amat meluas dalam kesasteraan ekesiastikal ini sehinggakan Gereja Nicolaitan di Rom mengekalkannya, biar pun dalam bentuk yang telah diubahsuai."

"The Dead Sea Scrolls, the Gospel of Barnabas, dan the New Testament", M.A. Yuseff, m.s. 109

Untuk melihat betapa kaum Yahudi dapat mengecam ramalan-ramalan ini dan telah bertindak berdasarkan ramalan-ramalan ini untuk menunggu kedatangan Penyelamat terakhir ini di tanah Arab, sila baca Bab 10.

"Dan setelah datang kepada mereka Al-Quran dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan Nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang-orang kafir, maka setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, meraka lalu engkar kepadanya. Maka laknat Allah-lah atas orang-orang yang engkar itu."

Al-Qur'an, Al-Baqarah (2):89

Skrol Laut Mati menyebut banyak lagi ramalan-ramalan yang menakjubkan dan yang selari dengan Qur'an dan Islam. Terdapat banyak juga keselarian dengan rentetan peristiwa-peristiwa dalam sejarah yang dikemukakan dalam buku ini, seperti mengenai "pencari perkara-perkara yang mudah" (memudahkan undang-undang agama) yang persamaannya dengan Paul dan pengikut-pengikutnya yang "memudahkan" agama Jesus selepas pemergiannya, dan membuang segala tanggungjawab daripadanya serta mendakwa bahawa autoritinya datang secara langsung melalui "visi-visi" daripada Jesus amat menakjubkan. Semasa membuang tanggungjawab dan undang-undang ini beliau dipetik berkata:

"Aku khuatir fikiran kamu akan dirosakkan sehingga kamu tidak lagi setia kepada Kristus. Hal itu berlaku pada Hawa yang ditipu oleh kelicikan ular."

2 Korintus 11:3 (juga lihat 2 Korintus 1:12, Rom 3:28 dan lain-lain)

"Setelah selesai berdoa, paderi berkata dengan kuat: 'Tunggu dulu Jesus, kerana kami perlu tahu siapa kamu, untuk kebaikan bangsa kita'. Jesus menjawab, 'Aku adalah Jesus anak Maryam, dari keturunan Daud, seorang manusia yang takut pada Tuhan dan aku mengharapkan penghormatan dan kemuliaan yang dianugerahkan Tuhan.'. Paderi itu menjawab, 'Di dalam buku Musa, tertulis bahawa Tuhan akan mengutuskan Penyelamat yang akan datang untuk memberitahu kita perintah Tuhan, dan membawa belas kasihan Tuhan. Oleh itu, tolonglah beritahu kami hal yang sebenar, adakah kamu Penyelamat Tuhan yang kami tunggu-tunggu?'. Jesus menjawab, 'Memang benar Tuhan telah menjanjikannya, tetapi aku bukan orang itu, kerana dia dijadikan sebelum aku dan akan tiba selepas aku.'. Paderi itu menjawab, 'Berdasarkan kata-kata dan perbuatanmu, kami percaya bahawa kamu adalah seorang nabi, seorang kudus dari Tuhan. Aku berdoa demi nama Judea dan Israel supaya kamu, demi kasih Tuhan, menunjukkan kepada kami bagaimana Penyelamat itu akan datang.'. Jesus menjawab, 'Demi Tuhan yang memegang nyawaku, aku bukanlah Penyelamat yang dinanti oleh semua bangsa di bumi, seperti yang dijanjikan oleh Tuhan kepada bapa kita, Ibrahim, firmanNya: 'Dari keturunanmu akan Aku berkata kepada semua bangsa-bangsa di dunia'. Tetapi apabila Tuhan mengambil aku dari dunia ini, Syaitan akan muncul dengan hasutan terlaknat ini, dan membuatkan manusia percaya bahawa aku adalah Tuhan, adalah Anak Tuhan. Pada masa itu, ajaran-ajaran dan doktrin-doktrin aku akan begitu tercemar sehinggakan tidak sampai tiga puluh pengikut yang taat yang tinggal. Pada masa ini, Tuhan akan mengasihani dunia dan menghantar utusanNya yang untuknya Dia telah menciptakan segala-galanya. Dia akan datang dari selatan dengan kuasa dan akan memusnahkan berhala serta penyembah berhala. Dia akan memusnahkan genggalam Syaitan ke atas manusia. Dia akan menyelamatkan manusia yang mempercayainya dengan rahmat Tuhan."

Gospel of Barnabas, m.s. 96

"Selepas itu hawari-hawari menangis, dan Jesus juga menangis, dan mereka lihat ramai yang datang untuk berjumpanya kerana ketua paderi telah bermuafakat sesama mereka untuk memerangkapnya ketika dia bercakap. Mereka menghantar orang-orang Levi dan beberapa orang juru tulis untuk menyoalnya, 'Siapakah kamu?'. Jesus mengakui perkara yang sebenarnya, 'Aku bukan Penyelamat itu". Mereka berkata, 'Adakah kamu Elijah atau Jeremiah, atau mana-mana nabi?'. Jesus menjawab, 'Tidak', maka mereka berkata, 'Maka siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami boleh khabarkan kepada mereka yang menghantar kami.'. Kemudian Jesus berkata, 'Aku adalah suara yang menyeru seluruh Judea, dan menyeru, 'Sediakanlah jalanmu untuk utusan Tuhan', seperti yang tertulis di dalam Esaias'. Mereka berkata, 'Jika kamu bukan Penyelamat atau Elijah, atau mana-mana nabi, mengapakah kamu mengajarkan doktrin baru, dan menjadikan dirimu lebih utama daripada Penyelamat?'. Jesus menjawab, 'Mukjizat yang Tuhan lakukan melalui tanganku membuktikan yang aku mengucapkan apa yang Tuhan mahu; aku tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang menghantarmu. Aku tidak layak untuk mengungkaikan tali kasut utusan Tuhan yang kamu panggil Penyelamat, yang agamanya tiada penghujungnya.'. Orang-orang Levi dan juru tulis pergi dalam kekeliruan, dan menceritakan hal itu kepada ketua paderi, yang kemudiannya berkata, 'Ada syaitan pada dirinya yang telah mengucapkan semua itu'."

Gospel Barnabas, m.s. 42

Yuseff berkata:

"Di dalam hasil kerja Sir Godfrey Higgin yang terkenal, iaitu "Anacalypsis", kita dimaklumkan bahawa di dalam kitab Haggi nama Penyelamat yang akan tiba selepas Jesus terdapat di dalam bab dua, ayat tujuh: 'dan keinginan semua bangsa akan tiba'. Di sisi perkataan Ibrani HMD [2] [diterjemahkan sebagai 'keinginan'] daripada teks Ibrani memberikan penjelasan berikut mengenai perkataan akar HMD. 'Daripada perkataan akar ini', (kata Parkhurst), 'adalah nama nabi Mohammed, atau Mahomet'. Sir Higgins berkata, 'Di sini Mohemmed' telah diramalkan oleh Haggi, dan dengan menyebut nama; tiada interpolasi di sini. Teks ini dan maksudnya yang jelas tidak dapat dinafikan, seperti yang timbul di fikiran mereka yang amat keberatan mengakuinya, Parkhurst, dan di fikiran seorang hakim yang berwibawa apabila beliau tidak dipengaruhi oleh prasangka. Beliau tidak menyembunyikan pendapatnya di sini seperti yang dilakukannya di dalam 'Wisdom of the Jerusalem Targum' kerana beliau tiada sebab untuk berbuat demikian; beliau tidak nampak ke mana arah kebenaran ini."

"The Dead Sea Scrolls, the Gospel of Barnabas, dan the New Testament", M.A. Yuseff, m.s. 109

Agama-agama dan Kitab-kitab Purba Lain

Banyak yang boleh diperkatakan mengenai Skrol Laut Mati dan pengesahannya terhadap Qur'an dan tugas Muhammad (s.a.w.), tetapi ini akan dibincangkan di dalam buku yang akan datang di mana, dengan izin Tuhan, banyak lagi contoh-contoh seperti ini akan dianalisa dengan terperinci. Namun sebelum menutup topik ini, saya ingin mengemukakan soalan berikut: Adakah Gospel Barnabas dan Skrol Laut Mati satu-satunya kitab-kitab purba yang meramalkan kedatangan seorang utusan Tuhan yang terakhir dari Arabia? Saya telah memikirkan persoalan ini buat beberapa lama. Umat Islam dimaklumkan bahawa Tuhan Yang Maha Berkuasa telah mengutuskan nabi-nabi semenjak permulaan masa kepada semua bangsa di bumi. Mereka juga dimaklumkan bahawa setiap nabi-nabi ini meramalkan beberapa perkara, di antaranya adalah kedatangan "utusan terakhir" dan juga kedatangan "Penyelamat Palsu" (Muhammad juga memberi amaran mengenai hal ini kepada pengikut-pengikutnya). Kajian sepintas lalu ke atas kitab-kitab purba yang ada pada hari ini menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa sesungguhnya inilah yang telah berlaku bagi kebanyakan agama, tidak kira bagaimana keadaan agama tersebut sekarang, pada suatu masa telah bermula dengan seorang utusan Tuhan yang benar dan utusan ini telah meramalkan kedatangan Muhammad (s.a.w.). Walaupun saya belum berkesempatan untuk mengkaji hal ini dengan lebih lanjut, tetapi terdapat tanda-tanda awal yang menyokong pendirian ini. Saya kemukakan dua contoh secara ringkas:

Contoh 1: Agama Parsi adalah salah satu agama manusia yang tertua. Ia diamalkan di Parsi selama beberapa abad dan mempunyai dua kitab utama, iaitu Dasatir dan Zand Avata. Di dalam Dasatir 14 (Sasan 11), kita dapati ramalan yang jelas mengenai Muhammad (s.a.w.):

"Apabila kaum Parsi telah amat rosak akhlak mereka, seorang lelaki akan dilahirkan di Arabia yang pengikut-pengikutnya akan menggugat takhta mereka, agama mereka dan segala-galanya. Mereka yang bongkak di kalangan kaum Parsi akan dikalahkan. Rumah yang dibina (Kaabah di Mekah dibina oleh nabi Ibrahim) dan di mana terdapat banyak berhala akan dibersihkan daripada berhala, dan orang ramai akan bersembahyang mengadapnya. Pengikut-pengikutnya akan menawan bandar-bandar Parsi dan Taus dan Balkh dan tempat-tempat besar di sekitarnya. Orang ramai akan terbabit sama. Golongan bijak pandai Parsi dan golongan lain akan bersama pengikut-pengikutnya."

Ramalan ini tidak perlu ditafsirkan. Ini adalah gambaran yang tepat mengenai apa yang kini diterima sebagai fakta sejarah (lihat penghujung Bab 10).

Contoh 2: Di dalam kitab-kitab Hindu juga terdapat apa yang kelihatannya seperti ramalan yang jelas mengenai Muhammad (s.a.w.). Di dalam Bhavishya Purana, nama beliau disebut:

"Hanya seorang lelaki buta huruf dengan nama julukan Guru, namanya Muhammad, akan muncul bersama-sama pengikut-pengikutnya. Raja (Bhoja dalam versi ini) kepada Diva Agung, iaitu penghuni Arabia, menyucikan air Ganga dan menawarkan sandal kayu dan menyembahnya. Wahai penghuni Arabia dan Tuhan semua yang kudus, kepadamulah pujianku. Wahai kamu yang telah mengasaskan banyak jalan dan cara untuk memusnahkan iblis-iblis dunia. Wahai yang kudus di kalangan yang buta huruf. Wahai yang tidak berdosa, roh kebenaran dan tuan yang mutlak, kepadamulah pujianku. Terimalah aku di kakimu."

"Bhavishya Purana" Parv 3 Khand 3, Adhya 3, Shalok 5-8

Bagi mereka yang inginkan perbincangan lanjut, sila dapatkan buku "The Bible's Last Prophet" oleh Faisal Siddiqui, Al-Saadawi Publications.

Notakaki

  1. Kini dikenali sebagai "ضsterreichische Nationalbibliothek".

  1. Sesungguhnya di dalam bahasa Arab juga HMD adalah perkataan akar dari mana diterbitkan nama "Muhammad".


 

0 comments so far.

Something to say?