Hamba aR-Razzaq
Be not frightened when death draweth night, It is but the departure for this blessed home Think of the mercy and love of your Lord, Give thanks for His Grace and come without fear. What I am now, even so shall you be. For I know that you are even as I am. The souls of all men come forth from God. The bodies of all are compounded alike. Good and evil, alike it was ours. I give you now a message of good cheer. May God's peace and joy for evermore be yours."

Paganisma Zaman Purba dan Bahaya Bertolak-Ansur 1

Category: By Hamba Razzaq


Paganisma Zaman Purba dan Bahaya Bertolak-Ansur
Dalam bab ini, saya akan menunjukkan bahawa kebanyakan daripada amalan-amalan dan kepercayaan-kepercayaan "Kristian" hari ini diperkenalkan ke dalam agama tersebut hasil daripada kesanggupan keterlaluan untuk bertolak-ansur dengan paganisma di kawasan sekeliling demi untuk mendapatkan sokongan mereka, dan supaya mereka bertukar agama. Ini adalah paganisma yang sama yang Jesus (a.s.) tentang habis-habisan semasa hayatnya untuk memusnahkannya. Ini akan dibuktikan, dengan izin Tuhan, melalui tulisan-tulisan Kristian sendiri. Saya akan menunjukkan bagaimana semua amalan-amalan dan kepercayaan-kepercayaan ini telah lama diterima oleh golongan penyembah berhala beberapa abad sebelum kemunculan Paul dan "visi-visinya".

Tanah yang terbentang di antara Sungai Nil dan Sungai Efrat adalah tempat tinggal bangsa Yahudi selama beberapa abad sebelum kedatangan Jesus (a.s.). Pada zaman ini, tanah tersebut jatuh di bawah pemerintahan banyak empayar, termasuk Babilonia, Parsi dan Rom, yang mana semuanya mempunyai hubungan yang meluas dengan budaya-budaya dan kepercayaan-kepercayaan lain. Kita akan lihat bahawa agama Jesus (a.s.) telah dikaji semula dan diubahsuai selepas pemergiannya disebabkan pengaruh semua budaya-budaya dan kepercayaan-kepercayaan ini, serta bagaimana ia menunjukkan banyak ciri-ciri daripada agama-agama ini, termasuk Buddha, penyembahan yang dilakukan oleh bangsa Rom dan Greek, kepercayaan-kepercayaan Parsi dan Mesir, di samping Judaisma dan lain-lain.

Maklumat berikut diperolehi daripada buku "Bible Myths and Their Parallels in Other Religions" oleh T.W. Doane dan "Islam and Christianity in the Modern World" oleh Dr. Muhammad Ansari.
Gambaran umum kebanyakan penganut Kristian hari ini adalah bahawa perbezaan di antara Kristian dan paganisma adalah amat besar sehinggakan tiada persamaan di antaranya. Namun ini adalah amat tidak benar. Lebih berilmu seseorang Kristian mengenai Kristian hari ini, lebih mereka sedar bahawa ia terhasil daripada usaha berterusan untuk memuaskan hati penyembah berhala bangsa Rom untuk mendapatkan sokongan mereka. Malangnya, ini dilakukan dengan memaksakan kepercayaan-kepercayaan paganisma purba yang telah wujud ke atas agama Jesus (a.s.) dan hawari-hawarinya. Kepercayaan-kepercayaan pagan ini "dimasukkan" ke dalam firman Tuhan dan amalan-amalan keagamaannya melalui "pengilhaman" selama beberapa abad kepada Gereja. Sarjana-sarjana Kristian yang berilmu amat sedar akan hakikat ini.
Tokoh terkenal gereja, St. Augustine (354-430 M) dipetik telah berkata:

"Apa yang kini dipanggil AGAMA KRISTIAN telah wujud di kalangan masyarakat purba. Mereka telah mula memanggil Kristian agama sebenar yang telah wujud sebelum ini."
"Rasa kasih kita terhadap apa yang lama, penghormatan kita terhadap kebiasaan bapa-bapa kita, menyebabkan kita berdiam diri di dalam gereja, dan berpegang kepada kain altar, dan lambang-lambang yang menyebabkan orang-orang Timur tersenyum dan tertanya-tanya mengapa kita menghantar para mubaligh ke negaranya, sedangkan kita mengasihi agamanya di dalam agama kita. "

Kita mulakan dengan lambang agama Kristian sendiri, iaitu "salib". Salib Diketahui umum bahawa lambang pertama Kristian adalah ikan. Pada cawan-cawan, cop-cop dan lampu-lampu upacara, Roh Suci dilambangkan oleh merpati dan Kristus oleh ikan (mungkin kerana pada masa itu ikan adalah salah satu unsur-unsur jamuan upacara) atau oleh seorang pengembala yang memikul seekor biri-biri di atas bahunya (daripada Lukas 15:3-7). Salib tidak digunakan sebagai lambang lama selepas pemergian Jesus. Salah satu sebab utamanya adalah hakikat bahawa sesiapa yang mati di batang salib dianggap dikutuk oleh Tuhan (Galatia 3:13). Pengetahuan sejarah hari ini mengakui hakikat bahawa salib telah digunakan sebagai lambang agama lama sebelum kemunculan Jesus (a.s.). Ia digunakan di India sebagai lambang Tuhan Hindu iaitu Agni yang merupakan "cahaya kepada dunia". Ia diletakkan pada tangan Siva. Brahma, Vishnu, Krishna, Tvashri, dan Jama. Salib juga digunakan di kalangan penganut Buddha sejak zaman purba dan oleh pengikut-pengikut Lama di Tibet.



Ikan: Lambang jamuan terakhir
Bangsa Mesir purba juga menggunakan salib sebagai lambang agama tuhan-tuhan berhala mereka. Banyak lukisan-lukisan Mesir menunjukkan mereka memegang salib dalam tangan mereka. Di antaranya adalah Horus, penyelamat Mesir, dilukis memegang salib di dalam tangannya. Beliau juga dilukis sebagai seorang bayi di atas pangkuan ibunya dengan salib pada kerusi yang mereka duduk. Yang paling biasa di antara salib-salib yang biasa digunakan oleh penyembah berhala Mesir ini adalah CRUX SANTA yang kemudiannya digunakan oleh Kristian.
Penyelamat Mesir, iaitu Osiris, yang merupakan Tuhan kematian dan alam ghaib, kadang kala digambarkan memberikan salib kepada manusia biasa sebagai lambang bahawa orang tersebut telah membuang kehidupan yang fana untuk kehidupan akan datang.
Satu lagi salib telah digali di Ireland. Ia adalah milik kultus tuhan matahari Parsi bernama "Mithra" dan mempunyai lambang patung yang disalib. Bangsa Greek dan Rom juga menggunakan salib sebagai lambang agama mereka berabad-abad sebelum penganut-penganut Kristian berbuat demikian. Ukiran purba di Tessaly mengandungi salib Calvary. Banyak salib-salib didapati menghiasi makam Raja Midas di Phrygia. Rujukan-rujukan di atas hanyalah beberapa contoh. "Triniti" Mari kita kaji "Triniti" dan akar umbinya dalam penyembahan berhala zaman purba. "Triniti" Kristian, seperti yang ditakrifkan oleh Rukun Nicea, adalah penggabungan tiga entiti yang berbeza menjadi satu entiti dan pada masa yang sama masih kekal sebagai tiga entiti. Kita disuruh untuk bercakap mengenai tiga tuhan sebagai satu tuhan, dan bukannya sebagai tiga tuhan yang mana ini dianggap sebagai kufur (Yesaya 43:10). Mereka dianggap sama-abadi, sama penting dan setara. Bagaimanapun, hanya tuhan pertama yang wujud dengan sendiri. Yang lain berasal daripadanya. Doktrin falsafah Neo-Platonik ini bukannya berasal dari wahyu Tuhan, tetapi paganisma purba. Kebanyakan agama-agama purba adalah berdasarkan tiga perbezaan ini. Tuhan-tuhan biasanya adalah triniti dan terdiri daripada pancaran berterusan ketiga-tiganya.

Di India, kita temui doktrin triniti yang dipanggil "tri-murti" (tiga bentuk) yang terdiri daripada Brahma, Vishnu dan Siva. Ia adalah kesatuan yang tidak boleh dipisahkan walau pun mempunyai tiga bentuk. Penyembah-penyembahnya diperintahkan untuk menyembahnya sebagai satu tuhan. Konsep ini tidak menimbulkan masalah kepada penganut Hindu kerana mereka telah biasa menyembah tuhan-tuhan dengan badan manusia dan kepada gajah (Ganesh), atau tuhan berwajah monyet (Hanuman), atau tuhan dengan enam tangan, dan sebagainya. Perlu diingat bahawa cerita-cerita klasik Hindu telah wujud sekurang-kurangnya pada 500 S.M., dengan akarnya semenjak 2000 S.M.
Golongan Brahma juga mempunyai triniti. Dalam triniti ini, Varapni, Manjusri, dan Avalokitesvara membentuk kesatuan suci tiga tuhan dalam satu tuhan yang dipanggil "Buddha". Bangsa China dan Jepun juga menyembah Buddha, tetapi mereka memanggilnya "Fo". Semasa menyembahnya, mereka berkata, "Fo adalah satu tuhan tetapi dalam tiga bentuk".
Sir Williams Jones berkata:
"Orang-orang tempatan yang boleh dipercayai meyakinkan saya bahawa seorang atau dua mubaligh dalam keghairahan mereka untuk menukar agama golongan bukan Yahudi, telah berkata bahawa penganut Hindu juga hampir seperti Kristian, kerana Brahma, Vishnu dan Mahesa (Siva) mereka adalah tidak lain tidak bukan adalah Triniti Kristian. "
"Bible Myths and Their Parallels in Other Religions", m.s. 371 .Bangsa Mesir purba juga menyembah triniti. Lambang mereka adalah sayap, bumi dan ular yang melambangkan sifat-sifat berlainan tuhan mereka. Bangsa Greek juga mempunyai triniti. Semasa melakukan korban kepada tuhan-tuhan mereka, mereka akan merenjiskan air suci di altar tiga kali, kemudian mereka merenjiskannya ke atas orang tiga kali juga. Kemenyan diambil menggunakan tiga jari dan ditaburkan di atas altar tiga kali. Semua ini dilakukan kerana seorang keramat mengisytiharkan bahawa semua benda-benda yang suci adalah tiga. Ingatlah bahawa falsafah mereka (bangsa Greek) mempunyai pengaruh yang besar dalam menakrifkan sifat "Triniti" Tuhan Kristian. Ini dilakukan melalui tulisan-tulisan ahli falsafah Greek bernama Plato mengenai "Logo" ("Firman"). Selanjutnya, ingatlah sebab Gospel-gospel Bible dinamakan "Gospel Greek": ia ditulis dalam bahasa Greek dan adalah berdasarkan falsafah mereka (lihat bab satu). Seperti yang disebutkan sebelum ini, T.W. Doane berkata:

"Hasil kerja Plato telah dikaji dengan teliti oleh Bapa-bapa Gereja, salah seorang daripadanya dikenali sebagai guru yang agung, yang kemudiannya telah mendidik penyembah berhala mengenai Kristus, sebagaimana Musa mendidik bangsa Yahudi. Petikan yang masyhur: "Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada, Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu adalah tuhan", adalah saki-baki daripada karangan penyembah berhala yang bersandarkan kepada falsafah Plato, dan ditulis oleh Inenaeus. Ia dipetik oleh Amelius, seorang ahli falsafah pada zaman penyembahan berhala, dan dikaitkan dengan Logos, atau Mercury [1], Kalimat, adalah testimoni mulia terhormat masyarakat gasar kepada berhala... Kita kemudiannya melihat gelaran "Kalimat" atau "Logos" diberikan kepada Jesus, ini sebenarnya adalah satu lagi cebisan penyatuan penyembahan berhala dengan Kristian. Ianya tidak diiktiraf di dalam Kristian sehinggalah pertengahan abad kedua selepas pemergian Jesus. Masyarakat penyembah berhala Rom menyembah Triniti. Seorang keramat dikatakan telah mengumumkan bahawa "Mula-mula Tuhan, kemudian Kalimat, dan bersama mereka Roh". Di sini kita lihat dengan jelas pembilangan Tuhan, Logos, dan Roh Suci di zaman Rom purba, di mana kuil-kuil terkemuka di sini - iaitu Jupiter Capitolinus - dikhususkan untuk menyembah tiga tuhan, di mana ketiga-tiganya disembah. "

"Bible Myth and Their Parallels in Other Religions", m.s. 375-376
Triniti tidak terhad kepada bangsa-bangsa ini sahaja, bangsa Parsi, Assiria, Fonisia, Skandinavia, Druid, Siberia, Mexico purba, Peru, dan banyak bangsa-bangsa lain juga menyembah tuhan berhala "Triniti" (di samping berbagai tuhan-tuhan lain) lama sebelum persidangan Nicea pada tahun 325 mengiktiraf sifat Tuhan ini secara rasmi.
Krismas Kita bincangkan pula "hari lahir Jesus", iaitu hari Krismas. Jesus (a.s.) dianggap telah dilahirkan pada 25hb. Disember. Bagaimanapun, sarjana-sarjana Kristian tahu bahawa beliau tidak dilahirkan pada hari tersebut. Memang diketahui bahawa gereja-gereja Kristian pertama mengadakan hari keraian mereka pada bulan Mei, April, atau Januari. Malah sarjana-sarjana pada dua abad pertama Masihi berbeza pendapat mengenai bila beliau dilahirkan. Ada yang percaya beliau dilahirkan dua puluh tahun sebelum tarikh yang diterima. Jadi bagaimanakah 25hb. Disember dipilih sebagai hari lahir Jesus (a.s.)?
Grolier's Encyclopedia berkata:

"Krismas adalah perayaan hari kelahiran Jesus Kristus yang diraikan pada 25hb. Disember... Meskipun kepercayaan terhadap Kristus dilahirkan melalui kisah-kisah kelahirannya, gereja tidak mengadakan perayaan untuk meraikan peristiwa tersebut sehinggalah pada abad ke empat... semenjak 274, di bawah Maharaja Aurelain, Rom telah mengadakan perayaan untuk meraikan "Matahari yang Tidak Dapat Dikalahkan" pada 25hb. Disember. Di Gereja Timur, tarikh 6hb. Januari yang dikaitkan dengan solstis musim sejuk dipilih sebagai hari perayaan. Bagaimanapun, setelah beberapa lama, Barat telah menambah tarikh Timur sebagai tarikh perayaan Epifani, dan Timur menambah tarikh Barat yang merayakan Krismas. "
Siapa lagi yang merayakan 25hb Disember sebagai hari lahir tuhan-tuhan mereka sebelum ia dipersetujui sebagai tarikh lahir Jesus (a.s.)? Terdapat masyarakat di India yang meraikannya dengan menghiasi rumah-rumah mereka dengan kalungan bunga dan memberikan hadiah kepada rakan-rakan mereka pada hari ini. Masyarakat China juga meraikan hari ini dan menutup kedai-kedai mereka. Tuhan Buddha dipercayai telah dilahirkan pada hari ini apabila "Roh Suci" turun kepada ibunya yang perawan, iaitu Maya. Penyelamat agung dan tuhan bangsa Parsi, iaitu Mithra, juga dipercayai telah dilahirkan pada 25hb. Disember - lama sebelum kedatangan Jesus (a.s.). Bangsa Mesir meraikan hari ini sebagai hari lahir penyelamat agung mereka, iaitu Horus, yang merupakan tuhan cahaya dan anak kepada "ibu perawan" dan "ratu syurga", iaitu Isis. Osiris, tuhan kematian dan alam ghaib di Mesir, adalah anak "perawan suci" yang juga dipercayai telah dilahirkan pada 25hb. Disember.
Bangsa Greek meraikan 25hb. Disember sebagai hari lahir Hercules, anak kepada tuhan tertinggi Greek, iaitu Zeus, yang dilahirkan oleh seorang wanita biasa, iaitu Alcmene. Bacchus, tuhan wain dan temasya bangsa Rom (juga dikenali oleh bangsa Greek sebagai Dionysus) juga dilahirkan pada hari ini.
Adonis yang dipuja sebagai "tuhan yang mati-dan-hidup" oleh bangsa Greek juga dilahirkan pada 25hb. Disember. Penyembah-penyembahnya mengadakan perayaan tahunan yang meraikan kematiannya dan kebangkitan semulanya pada pertengahan musim panas. Perayaan hari kelahirannya direkodkan telah diadakan di gua yang sama di Bethlehem yang didakwa sebagai tempat kelahiran Jesus (a.s.).
Bangsa Skandinavia merayakan 25hb. Disember sebagai hari lahir tuhan mereka, Freyr, yang merupakan tuhan tertinggi langit, iaitu Odin.
Bangsa Rom meraikan hari ini sebagai hari lahir tuhan matahari, Natalis Solis Invicti (hari lahir Sol yang tidak dapat dimusnahkan). Semua bergembira dan kedai-kedai ditutup. Bandar diterangi dengan lampu-lampu, permainan diadakan, dan mereka bertukar-tukar hadiah, dan hamba-hamba abdi diberikan kebebasan. Sila ingat bahawa ini adalah bangsa Rom yang kemudiannya mempengerusikan persidangan Nice (325 M) yang membawa kepada pengiktirafan rasmi Kristian bahawa "Triniti" adalah sifat sebenar Tuhan, dan "hakikat" bahawa Jesus juga dilahirkan pada 25hb. Disember. Maharaja penyembah berhala, iaitu Konstantin, yang mempengerusikan persidangan Nicea dipercayai adalah "penjelmaan" tuhan "Matahari" Rom. Konstantin bukanlah maharaja Rom pertama yang diberikan gelaran tersebut, malahan maharaja-maharaja sebelumnya juga dinaikkan taraf kepada "penjelmaan" tuhan matahari.
Edward Gibbon berkata:
"Penganut-penganut Kristian Rom yang tidak tahu-menahu mengenai kelahirannya (Kristus) telah menetapkan perayaan tersebut pada 25hb. Disember, iaitu semasa Brumalia atau solstis musim sejuk, pada masa penyembah-penyembah berhala merayakan kelahiran Sol. "
"Decline and Fall of the Roman Empire", Jilid ii, Gibbon, m.s. 383
Perayaan Krismas hari ini mengandungi banyak adat-adat penyembahan berhala, seperti penggunaan holi dan mistletoe, kayu yul dan mangkuk wassail. Pokok Krismas sendiri adalah aspek perayaan penyembahan berhala yang paling ketara yang kemudiannya dimasukkan ke dalam upacara gereja. Sarjana-sarjana percaya bahawa perayaan Kristian ini sebahagiannya berasal daripada upacara yang dijalankan oleh masyarakat Jerman Pra-Kristian dan masyarakat Celtic untuk merayakan solstis musim sejuk. Pokok Krismas dihiasi dengan lampu dan hiasan-hiasan lain kerana ia mengekalkan daunnya hijau sepanjang bulan, yang mana ini dipercayai oleh penyembah-penyembah berhala pra-Kristian mempunyai kuasa istimewa untuk melindungi daripada kuasa-kuasa alam dan roh-roh jahat. Pada penghujung Disember masa siang semakin panjang - kembalinya kepanasan serta cahaya, dan kuasa-kuasa jahat yang menyebabkan kesejukan dan kegelapan ditumpaskan. Pokok Krismas berasal daripada apa yang dipanggil pohon syurga yang melambangkan Eden. Penggunaan pohon Krismas bermula pada awal abad ke tujuh belas di Strasbourg, Perancis, dan dari sini tersebar sehingga ke Jerman, ke Eropah timur dan Britain, dan dari situ ke Amerika.
Krismas bukanlah satu-satunya perayaan Kristian yang dipinjam daripada paganisma purba dan dipaksakan ke atas agama Jesus (a.s.). Perayaan-perayaan lain adalah Easter (lihat perinciannya dalam bab satu), perayaan St. John, Perjamuan Suci, pengumuman perawan, penerimaan perawan, dan banyak lagi yang lain yang mempunyai akar umbi dalam paganisma purba. Oleh kerana semuanya tidak dapat dibincangkan di sini, pembaca yang berminat diminta merujuk buku yang diberikan di atas.
Ramai yang membantah apabila dinasihatkan supaya tidak memperkenalkan amalan-amalan baru ke dalam agama mereka, kalau pun ia hanyalah sekadar perayaan dan keraian. Mereka berkata, "Apa mudaratnya jika saya menyembah Tuhan dan bersyukur kepadanya atas rahmatnya pada hari ini bila mana penyembah-penyembah berhala juga melakukan penyembahan mereka? Saya tidak menyembah berhala." Untuk ini, kita hanya perlu membaca larangan yang jelas daripada Tuhan sendiri di dalam Bible:
"Maka hati-hatilah supaya jangan engkau kena jerat dan mengikuti mereka, setelah mereka dipunahkan dari hadapanmu, dan supaya jangan engkau menanya-nanya tentang allah mereka dengan berkata: Bagaimana bangsa-bangsa ini beribadah kepada allah mereka? Aku pun mahu berlaku begitu. "Ulangan 12:30

Ada sebabnya Tuhan memerintahkan sesuatu kepada kita. Hanya kerana kita tidak tahu kebijaksanaan di sebalik sesuatu larangan tidak bermakna kita bebas melanggar larangan tersebut. Sesungguhnya, kesanggupan untuk "mengubahsuai" dan "bertolak-ansur" inilah yang akhirnya menyebabkan hilangnya ajaran Jesus, seperti yang telah kita lihat dalam bab satu.
 

0 comments so far.

Something to say?